Search This Blog

Saturday 4 September 2010

AKU INGIN BAHAGIA

Aku ingin bahagia seperti orang lain juga... aku mencari-cari jalan untuk menuju kebahagiaan namun setiap usahaku gagal membuahkan hasil... pernah aku hampir berputus asa namun pesan seorang sahabat katanya padaku "Allah tidak zalim Yong, Dia uji Yong kerana Dia lebih tahu, Dia Maha Mengetahui... jangan lari dari masalah, bahagia tak akan datang sendiri..."

Hari ini, aku rasa lebih bahagia daripada hari-hari yang pernah aku lalui sebelum ini... Aku mencari kebahagiaan dengan caraku sendiri.

Aku seorang wanita yang suka bekerja, aku jadikan diriku lebih seronok menghadapi cabaran dengan kerjayaku.. cabaran bukan lagi masalah tapi ia adalah permainan seni dunia perniagaan yang aku ceburi.

Syukur, aku rasa lebih bahagia apabila hati aku semakin tenang, fikiran dan jiwaku semakin bersih, kesihatan ku  semakin pulih... pernah terjadi tiap-tiap minggu aku naik ambulan, lemas juga dibuatnya kerana setiap kali aku sakit maka setiap kali itu jugalah aku menyusahkan anak-anak dan pekerjaku yang setia.

Matlamat yang ingin aku capai selama ini menampakkan tanda-tanda positif, aku rasa bahagia... aku lebih bersemangat lagi untuk bekerja dan pada masa yang sama mendidik anak-anak yang sedang membesar... itu pun aku rasa bahagia dan bertuah diberi peluang olehNya kerana dapat melalui setiap detik waktu bersama zuriatku yang aku lahirkan, bertarung nyawa untuk mereka.

Hari ini aku semakin boleh menerima dengan REDHA dengan ujianNya... aku semakin memahami ia adalah penebusan dosa serta peningkatan iman... sejujurnya selama ini, aku tahu hakikat itu namun hatiku tak dapat aku fahamkan. Apa yang akan datang selepas ini tidak sedikit pun aku gusarkan, aku telah berhenti dari terus merosakkan jiwaku sendiri dengan memikirkan hal-hal di luar jangkauan manusia. Masa depan itu rahsia Pencipta. Dia sebaik-baik perancang ke atas tiap sesuatu makhluk.

Sebaiknya aku lebih bijak mengatasi kelemahan diri sendiri, aku mesti belajar menjadi seorang wanita yang hebat dalam membuat keputusan hebat juga... keputusan yang tidak mengambil masa yang terlalu lama tetapi hadir dengan wajah yang tepat dan bijak.

Bila rasa ingin maju, akan ku bandingkan diriku dengan mereka yang berjaya... bila rasa tidak cukup, cepat-cepat aku toleh kepada mereka yang lebih bawah dariku... aku ingin bahagia... sifat syukur dan keinginan yang membara untuk menjadi lebih baik dari hari semalam tidak sesekali akan aku korbankan dengan kelemahanku yang mudah keluh kesah, risau dan panik. Aku seorang wanita biasa namun aku berhak bahagia.

Aku bahagia apabila dikelilingi mereka yang positif, optimis juga inovatif. Aku juga bahagia apabila dapat membantu mereka yang negatif dan pesimis... aku bahagia apabila dapat berkongsi pengalaman dengan mereka... aku bahagia melihat mereka dapat berubah... kerana aku pernah seperti mereka... berlari-lari di setiap penjuru kehidupan meminta tolong kepada ramai orang untuk membawaku ke jalan bahagia... aku bahagia apabila senyumanku disambut girang oleh mereka yang pernah aku bantu walaupun sekadar menjadi pendengar setia.

Akan aku hargai hidup ini sebaiknya, akan aku nikmati hariku dengan sungguh-sungguh, akan aku cari dan berdoa selalu agar penderitaan yang gelap akan bertukar menjadi cerahnya kebahagiaan.....

Nukilan Hati,
~Leena~
4 September 2010
11:00 malam 




Thursday 2 September 2010